Assalamualaikum..
Bicara hati, apa yang dihajati...
Pabila berbicara tentang hati, sudah lama ia tidak berperasaan,
kering, kemarau, mungkin berhabuk...yang ada sudah pergi,
yang tiada makin menghilang, yang disisi belum tentu memahami,
yang faham belum tentu mendengar, yang mendengar belum tentu merasai...
diri yang merasai, segalanya perlu ditelan..
biar pahit, biar keras..namun amat berguna...agar menjadi lebih kuat.
Apa itu yang diistilahkan sebagai 'hati'..??!
Rasulallah (S.A.W) pernah bersabda tentang 'seketul daging bernama hati'. Sabda Baginda yang bermaksud:
"...ingatlah dalam jasad itu ada seketul daging, apabila daging itu baik, maka baiklah jasad itu secara keseluruhannya, apabila daging itu rosak, maka rosaklah jasad itu secara keseluruhannya, ingatlah daging itu adalah hati."
Hati adalah bahagian yang paling penting bagi seseorang insan, 'belaian kasih sayang' terhadap seketul daging itu amat signifikan dan perlulah secara 'istikomah', agar daging bernama hati itu tidak akan pernah lalai dan alpa dengan kasih sayang tuannya. Dan ingatlah, hati jua lah yang menentukan baik dan buruk seseorang itu, kuat akan imannya atau kufur dengan nikmat pemberianNYA. Ketahui, manusia yang beriman adalah muslim, namun tidak semua muslim itu adalah individu yang beriman. Terpulang pada 'kreativiti' diri dalam mencorak 'kehidupan' seketul hati itu. Meminjam kata-kata daripada seorang ulama', Ibn Taimiyyah rahimahullah, "Hati adalah rumah ALLAH, Rumah ini tidak akan baik, tidak akan kukuh, dan tidak akan berkata jujur melainkan dirimu memperhati dan menyedari bahawa ALLAH S.W.T sentiasa melihatmu."
INGATLAH, 'ilmu itu adalah cahaya, dan cahaya itu tidak akan menyimbah di hati orang-orang yang melakukan maksiat' ;(Imam Shafi'i).
Berkata tentang hati, sengaja ku 'hamparkan' beberapa hadis dan potongan ayat-ayat al-Quran agar mereka yang 'memerhati' akan entri kali ini lebih jelas, faham akan kepentingan 'hati yang hidup'. Kerna iblis laknatullah tidak akan pernah berhenti 'menyelami' hati orang-orang yang beriman , agar si pemilik hati mudah alpa dengan nikmatnya syurga duniawi. Maka, mohonlah agar dipelihara hati, dari segala bentuk kelalaian. Fahamilah hadis Nabi yang bermaksud:
"Sesungguhnya syaitan itu meletakkan belalainya di atas hati anak Adam. Apabila beliau berzikir, syaitan akan berundur dan apabila beliau lupa, syaitan akan mengunyah hatinya."
Kata-kata ini, adalah suatu peringatan kepada hamba-hambaNYA yang beriman, agar tidak tercicir hatinya akan perkara-perkara yang membuatkan ia mati...Peliharalah hatimu , 'segarkanlah' hati itu dengan zikir-zikir akan Yang Esa, jangan pernah biarkan hati itu mati, sebelum tibanya detik kematian jasad yang sebenar.
...create in me a clean heart Yaa Rab,
and put a new and right spirit within me...





